Yang Terlupakan

Adat

Image result for adat melayu dahulu

PENGENALAN

Adat Temenggung merupakan undang-undang yang diamalkan di Negeri-Negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan yang mengamalkan Adat Perpatih. Adat ini diasaskan oleh Datuk Ketemenggungan (abang tiri kepada Datuk Perpatih Nan Sebatang yang mengasaskan Adat Perpatih) yang berasal dari Sumatera.
Adat secara umumnya merupakan kebiasaan yang diamalkan oleh satu-satu masyarakat yang berbangsa dan sesiapa yang keluar daripada norma tersebut akan dianggap sebagai melanggar adat. Kebanyakan aspek peradatan ini adalah diwarisi secara turun-temurun oleh setiap keturunan masyarakat yang berbangsa itu.
Wujudnya istilah "Adat Temenggung" adalah berkait dengan munculnya istilah "Adat Perpatih". Disebabkan oleh Adat Temenggong diamalkan di hampir semua negeri-negeri Melayu, maka Adat Temenggong telah bercampur dengan undang-undang adat Melayu yang telah sedia ada sebelumnya dan ia mempunyai nama yang berbeza mengikut negeri. 
Istilah Adat Temenggung sebenarnya tidak ada dalam budaya orang Melayu yang awal(sebelum islam), dan Adat Temenggung sebenarnya merupakan gelaran undang-undang yang menggunakan nama yang berbeza tetapi di bawah satu prinsip yang sama. Ini mungkin berpunca daripada wujudnya beberapa persamaan antara adat Melayu yang asal sebelum islam dengan adat yang diasaskan Datuk Ketemenggungan di Minangkabau. Kebanyakannya juga telah disesuaikan dengan ajaran Islam. Sebagai contoh:

  1. Undang-undang Kedah.
  2. Undang-undang Johor.
  3. Undang-undang Melaka.
  4. Undang-undang Pahang.
  5. Undang-undang Perak.

Selain itu, terdapat juga adat-adat khusus lain seperti adat perkahwinan, adat pertabalan raja, adat bersalin dan sebagainya mengikut budaya dan bangsa didalam masyarakat Melayu itu sendiri yang dijadikan amalan Pemerintah dan masyarakat itu sendiri.
Adat Temenggung mempunyai unsur pengaruh agama Hindu-Buddha dan kemudiannya agama Islam, Namun dengan kehadiran penjajah ke Tanah Melayu telah menjadikan undang-undang adat Melayu kian pupus dek amalan Orang Melayu berbanding dengan mengamalkan undang-undang adat penjajah sehingga kini dan ini adalah fakta kejadian yang kita sendiri dapat melihatnya dengan nyata lagi terang.


MAKSUD ADAT

Related image
Adat membawa maksud; kebiasaan, resam, lembaga, peraturan, hukum, norma yang dijunjung oleh kelompok masyarakat yang berbangsa.
Dalam bahasa Melayu lama, adat merujuk kepada undang-undang atau hukum adat yang merangkumi bidang sosial, politik, ekonomi bahkan undang-undang samudera.
  1. Hukum adat: Hukum yang berlandaskan kebiasaan lama, kebiasaan turun temurun
  2. Orang beradat: Orang baik-baik dan Orang yang berbangsa
  3. Raja beradat: Raja yang sedang bersemayam dihadapan orang-orang besar
  4. Orang tidak beradat: Kurang ajar, bukan orang baik-baik
  5. Pembawa Adat: Orang amanah yang membawa pusaka turun temurun.

ADAT TEMENGGUNG
  1. Latar belakang:
    Adat Temenggung diamalkan di semua negeri-negeri Melayu kecuali Negeri Sembilan. Adat Temenggung disusun oleh Datuk Ketemenggungan, iaitu abang tiri Datuk Perpatih Nan Sebatang di Palembang. Adat ini dibawa masuk ke Melaka pada awal abad ke-15. Dari Melaka, Adat Temenggung disebar ke negeri-negeri Melayu yang lain dengan perkembangan Empayar Melaka.

  2. Ciri-ciri:
    a. Lebih mementingkan lelaki:-
    Adat Temenggung mengiktirafkan lelaki menjadi ketua keluarga. Maka, adat ini dikatakan lebih mementingkan pihak lelaki. Dalam hal perwarisan harta, lelaki yang mewarisi harta iaitu dari ayah kepada anak lelaki. Adat Temenggung juga mengkehendaki seseorang isteri tinggal bersama dengan keluarga suaminya. Selain itu, Adat Temenggung menganggap kedua-dua pihak keluarga sama penting. Perkahwinan di antara dua orang sepupu dibenarkan asalkan kedua-dua orang tua tidak mempunyai pertalian darah.

    b. Undang-undang bersifat kekerasan:-

    Sama seperti Adat Perpatih, undang-undang Adat Temenggung berbentuk peribahasa, bidalan dan sebagainya. Tetapi undang-undangnya bersifat kekerasan. Setiap orang yang melakukan kesalahan, dia akan di hukum dengan hukuman berat. Sebagai contoh, seseorang yang membunuh akan dijatuhkan hukuman mati. Mereka percaya bahawa hanya menggunakan kekerasan sahaja dapat mengurangkan niat seseorang untuk melakukan kesalahan.

    c. Mempunyai unsur autokratik (yang membawa maksud kepada corak pentadbiran seseorang pemerintah atau Raja dengan kuasa mutlak iaitu tanpa had):-

    Adat Temenggung mengutamakan kedudukan istimewa dan kebesaran pemerintah. Ia bukan sahaja memberi kuasa kepada pemerintah tetapi juga kepada para pembesar. Oleh itu, golongan pemerintah mempunyai kuasa berlebihan. Dengan itu, adat ini dikatakan bersifat autokrasi dimana semua kuasa adalah terletak dalam tangan pemerintah dan pembesar.
Image result for adat melayu dahulu

DEFINISI RINGKAS TENTANG ADAT DIDALAM PERADABAN MELAYU:

  1. Adat yang sebenar adat:-
Adat yang sebenar adat yaitu ketentuan-ketentuan yang berlandaskan dan berdasarkan Al-Qur’an dan hadits. adat yang sebenar adat adalah inti adat yang berdasar kepada ajaran agama Islam. Adat inilah yang tidak boleh dianjak-alih, diubah, dan ditukar.
Bila dianjak layu,
Bila diumbat mati;
Bila diunjuk ia membunuh,
Bila dialih ia membinasakan.

Related image
  1. Adat yang diadatkan:-
Adat yang diadatkan adalah ketentuan-ketentuan yang dibuat atas dasar musyawarah, seperti pepatah adat mengatakan bulat air dengan pembuluh bulat kata dengan mufakat. Pemangku adat adalah seorang raja(bagi negeri yang diperintah), ketua adat(bagi ketua didalam keturunan keluarga yang berbangsa) ataupun penghulu(bagi daerah atau wilayah yang diperintah). Pelaksanaan adat ini wujudnya adalah untuk kebahagiaan penduduk, baik lahir ataupun batin, dunia dan akhirat, pada saat itu dan saat yang akan datang.
Adat ini dapat berubah sesuai dengan perubahan zaman dan perkembangan masyarakat pendukungnya.
  1. Adat yang teradat
Adat yang teradat merupakan ketentuan-ketentuan yang dibuat atas dasar musyawarah dan mufakat dan dapat diubah dengan mufakat mengikut perubahan dari zaman ke zaman.
Sekali air bah,
Sekali tepian berpindah,
Sekali zaman beredar,
Sekali adat berkisar.

  1. Adat Istiadat
Adat istiadat merupakan ketentuan-ketentuan, kebiasaan-kebiasaan lama yang telah diikuti oleh bangsa keturunan serta Raja-Raja memerintah dan masyarakat melalui hukum adat yang selalu mengikuti perkembangan zaman dimana tidak boleh bertentangan dengan ketentuan yang sepatutnya. Adat istiadat merupakan amalan kebiasaan yang telah lama dilakukkan atau tradisi yang masih relevan dengan zaman dan masih tetap berlaku sampai sekarang.
Ketuku batang ketakal,
Kedua batang keladi mayang, 
Sesuku kita seasal,
Senenek kita semoyang.


Adat istiadat adalah asas kebangsaan, melalui amalan yang berterusan dan sebagai bentuk warisan yang mencerminkan identiti bangsa.

Bila Dikaji Ilmunya Dapat
Bila Dipakai Hidup Selamat
Bila Diikut Tiada Sesat
Bila Diturut Banyaklah Berakat
Bila Diamal Hidup Mufakat
Bila Ditaat Sengketa Tidak Dekat
Bila Difaham Hidup Bersifat
Bila Diamal Sentosalah Umat

Pantun Berisi Pepatah Adat
Pantun Mengandung Petua Nasihat
Pantun Dipakai Didalam Helat
Pantun Dikaji Didalam Musyuwarat
Pantun Diungkai Mencari Mufakat
Pantun Dibilang Mencapai Sepakat
Disitu Undang Sama Disukat
Disitu Hukum Sama Diangkat
Disitu Pusaka Sama Diingat
Disitu Adab Sama Ditingkat
Disitu Umat Menunjuk Adat

-tokchangkatlanggor-

Image result for saka kinta